"Formula kita adalah bekerja sebagai satu pasukan jadi tidak ada kelompok dan komplot, bererti kita merancang bukan untuk kalahkan musuh tetapi kalahkan kawan dan itu penyakit yang boleh rebahkan parti"
"LDP di Jepun, baru-baru ini kita dengar pengalaman pemimpin LDP yang ceritakan bahawa parti itu yang seusia Umno rebah di dalam pilihan raya terbaru dan salah satu faktornya adalah terdapat banyak kelompok dan komplot dalam parti sehingga mereka lupa matlamat parti untuk bela rakyat jelata kerana sibuk untuk kalahkan sesama kawan," katanya.

( Petikan ucapan YAB PM ketika berucap di majlis perasmian berkelompok persidangan Umno cawangan-cawangan 2010 di Pekan hari ini).

Merujuk kepada intipati ucapan YAB PM itu merungkai hakikat permasalahan yang melanda kepimpinan UMNO ketika ini.Masalah ini yang dilihat menjadi semakin parah dan membuatkan UMNO itu lemah.Walaupun kepimpinan Tertinggi UMNO yang diterajui oleh YAB PM sendiri telah membuat pelbagai transformasi, namun penyakit ini masih lagi berdarah bernanah didalam urat nadi sebahagian pemimpin UMNO.Apabila berhadapan dengan ahli akar umbi maka berdentam dentumlah suara memekik menyeru ahli bersatu padu, berkerjasama ,jangan berpecah belah dan jagalah parti dengan baik.Tetapi hakikatnya ada pemimpin yang hipokrit , ada pemimpin yang cakap tak serupa bikin , ada pemimpin yang pentingkan kroninya , ada pemimpin yang kenyangkan temboloknya sahaja dan ada pemimpin yang tidak ambil tahu pun perkembangan parti.

Kita marah apabila dikatakan UMNO itu rasuah,pemimpin elit,mempamerkan kekayaan,pemimpin tidak mesra rakyat,metarialistik dan kronisme.Akhirnya UMNO berhadapan dengan masalah persepsi negatif oleh rakyat.Maka timbullah istilah UMNO tidak relevan lagi.Puncanya dari siapa? Apakah puncanya dari ahli dibawah yang namanya Mamat, Said, Minah, Timah yang kerjanya menangkap ikan ,kutip pucuk paku,toreh getah atau jual keropok lekor.Mereka ini setiap tiba pilihanraya keluar mengundi calon pilihan UMNO Barisan Nasional dengan harapan UMNO dapat membela nasib mereka dan anak cucu mereka dengan lebih baik dimasa hadapan.Mereka tidak berselera pun untuk menawarkan diri memegang jawatan dalam parti apatah lagi setiap kali pemilihan membuat bujukan dengan hadiah gula-gula untuk mendapatkan undi.Yang penting bagi mereka ialah periuk nasi mereka berasap.

Maka yang sewajibnya dipersalahkan dan yang semestinya diperbetulkan ialah mereka yang bernama pemimpin atau mereka yang telah dipilih melalui satu proses pemilihan dalam parti atas prinsip demokrasi.Tugas dan tanggungjawab dalam parti harus dipegang atas sifat kebersamaan tidak kira kecil besar pangkat dan jawatan.Kerja parti adalah kerja berterusan yang tidak mengira siang ataupun malam, hari kelmarin hari ini atau hari esuk.Kerja parti tidak sama seperti rutin pekerja pejabat yang jam 8.00 pagi masuk pejabat dan pulang 5.00 petang.Inilah hakikat betapa besarnya tanggungjawab dan betapa beratnya tugas yang dipikul.Namun ramai dikalangan pemimpin yang tidak sedar atau sengaja tidak sedar akan realiti tugas sebagai penggerak parti.Jika mereka sedar sudah tentu mereka hadir mesyuarat ajk bahagian,mereka memberi komitment pada program parti ,mereka akan patuh arahan majlis tertinggi atau Badan Perhubungan.Jika mereka sedar sudah tentu tidak ada seribu alasan itu dan ini.Jika mereka sedar,mungkin tidak ada pemimpin yang akan buat program ceramah di kedai-kedai kopi yang inti ucapan tidak lain dari mengata dan mencari salah orang lain.

Berapa ramaikah lagi pemimpin yang ada roh perjuangan , pemimpin yang berjiwa sukarelawan , yang berkhidmat dengan hati ikhlas,jujur tanpa mengharap apa-apa imbuhan.Tidak dinafikan UMNO mempunyai jasad yang banyak kerana ahlinya ramai , setiap ceruk kampung UMNO mempunyai cawangannya.Apa ada pada jasad jika rohnya mati , jasad yang banyak tiada maknanya.Apa yang membimbangkan ialah semangat sukarelawan yang semakin hilang.Semua khidmat mesti diberi imbuhan dan berbayar.Tidak menjadi salah jika diberi imbuhan atas tugas dan khidmat kepada parti tetapi ianya jadi masalah apabila imbuhan menjadi keutamaan apabila parti memerlukan bantuan dan pertolongan.Akhirnya kewangan akan menjadi satu halangan besar dalam usaha melaksanakan aktiviti-aktiviti parti.

Mind-set ahli UMNO perlu diubah dengan pendekatan psikologi untuk melahirkan ahli yang berkualiti bukannya kuantiti.Ahli parti yang tahu susur galur perjuangan, yang tahu matlamat dan kenali UMNO.Kita jadi ahli UMNO kerana keyakinan kepada parti keramat ini yang banyak berjasa kepada bangsa, agama dan tanahair.Jangan kita masuk UMNO kerana mengejar projek berjuta, kita masuk UMNO kerana wang ehsan , kita masuk UMNO kerana ingin dapatkan bantuan PPRT, kita masuk UMNO kerana mengejar pangkat dan kuasa kerana ahli parti yang berjiwa begini tidak akan kekal dan akhirnya akan menggadaikan perjuangan parti apabila semua yang dihajati tidak kesampaian.Inilah terjadi pada pilihanraya ke-12 apabila pembangkang menawarkan pakej janji-janji yang mempesonakan maka ramailah yang beralih memberi sokongan kepada pembangkang.Siapa yang memberi kemenangan kepada pembangkang di Pulau Pinang,Selangor,Kedah, Perak dan Kelantan jika tidak dengan bantuan ahli-ahli UMNO sendiri yang berpaling tadah.Saya percaya ahli parti yang lengkap dengan semangat perjuangannya, ahli parti yang ikhlas , setia dan tidak pentingkan diri sendiri tidak akan mengkhianati UMNO.

Pada era 60-an dan 70-an dulu ramai pemimpin UMNO terdiri di kalangan pendidik.Mereka menjadi pemimpin yang memberi kesedaran di kampung-kampung, mereka menjadi penggiat kepada masyarakat dan mereka menjadi sumber pandangan yang menyeru masyarakat untuk berubah.Dalam era hari ini , golongan pendidik dikatakan ramai yang berkiblatkan kepada pembangkang.Mengapa???Kerana mereka tidak diberi peluang lagi untuk berkhidmat kepada parti , mereka menjadi golongan terpinggir dalam organisasi parti.Orang tidak memandang kepada pendidik yang bukan golongan kaya raya , korporat atau jutawan.Jika bertanding jawatan dalam parti mereka tidak berkemampuan untuk membayar duit gula-gula.Bukan sahaja golongan pendidik malahan golongan profesional lain juga makin berkurang untuk terlibat bersama dengan UMNO.Senario ini membimbangkan kerana parti pada satu masa nanti akan mengalami ketandusan pemimpin berkualiti.UMNO memerlukan pemimpin yang ada idea, kreatif dan bijaksana untuk meneruskan perjuangan yang besar ini.Jika jawatan penting dalam UMNO hanya untuk golongan kaya dan berduit maka pudarlah perjuangan ini.UMNO akan menjadi parti korporat, parti bisness, parti orang-orang kaya yang pakai baju linen atau ada kereta Brabus.Orang-orang kampung yang daif miskin , golongan sederhana yang makan cukup bulan mungkin akan merasa segan untuk mendampingi UMNO kerana perbezaan antara dua darjat.

Namun kita berharap UMNO terus relevan untuk semua lapisan rakyat.Mana yang rosak diperbaiki dan mana buruk dibuang.Presiden Parti telah berkerja bersungguh-sungguh untuk mentranformasikan UMNO.Sahutlah cabaran itu untuk sama-sama menjaga parti orang melayu ini,parti yang banyak berjasa ini,parti yang membesar dengan sejarah ini dan parti yang lahir dari jerit tangis raja-raja,bangsawan,ulama,guru,nelayan dan petani ini kekal memerintah di Tanah air Malaysia buat selama-lamanya.
|
This entry was posted on 06:19 and is filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 feed. You can leave a response, or trackback from your own site.

1 comments:

On 9 May 2010 at 04:29 , anak bukit besi said...

Itu hanya sekadar kupasan di permukaan kulit sahaja...hakikatnya kudis ini sudah mendalam membentuk nanah dan barah yg sungguh busuk baunya bagi mereka yg diberi hidayah untuk menghidunya. Yg menjadi mangsa jangkitan kudis kusta dan buta ini adalah rakyat marhaen yg tetiba terasa perit dan pedihnya. Apalah maknanya berpuluh2 helai pakaian linen atau beribu2 harga sebelah sepatu dikaki seandainya yg dibawah menjerit2 kelaparan dan kehausan untuk menjayakan aktiviti parti di peringkat cawangan. Apalah maknanya jutaan ringgit kenderaan dimiliki seandainya pok mat cawangan terkial2 mencari serial dua membaiki motor untuk ke mesyuarat agung bahagian? Pok mat tersenyum megah pulang membawa beg dan name tag wakil cawangan tapi ada yg tersenyum mekar mengutip laba di atas nama UMNO.....