Umpama sepasang sayap burung, jika patah sebelah sayapnya, maka tidaklah burung itu mampu terbang tinggi. Begitu juga dengan Pergerakan Pemuda UMNO sebagai sayap atau lebih tepat disebut penerus kepada perjuangan UMNO sebagai wadah membela nasib dan masa depan bangsa Melayu.Di bahu kalangan ahli Pemuda UMNO ialah amanah daripada pemimpin terdahulu serta generasi akan datang dalam memastikan teras perjuangan UMNO tidak sesekali diabaikan. Mereka juga memikul tanggungjawab yang besar dalam menentukan kelangsungan perjuangan parti dan bangsa untuk satu tempoh yang panjang kerana di kalangan merekalah akan lahirnya penerus kepada kepimpinan parti dan juga negara.




Beban dan tanggungjawab besar yang digalas oleh Pergerakan Pemuda UMNO menyebabkan mereka sering menjadi tumpuan serta tidak kurang juga menerima kritikan.
Cabaran paling utama ialah sejauh mana Pergerakan Pemuda UMNO berjaya mendekatkan teras perjuangan UMNO di kalangan generasi muda yang merupakan kumpulan majoriti dalam pecahan pengundi.Melalui Program Dana Bakti Remaja ianya dilihat dapat memberi kefahaman perjuangan UMNO.Pergerakan Pemuda UMNO perlu mengambil langkah yang agresif dan lebih pantas dalam menarik sokongan di kalangan pengundi muda dan idea Penubuhan Kelab Permotoran merupakan idea yang menarik dan tepat.



Peranan Pemuda UMNO dalam membentuk generasi muda pada hari ini bukan saja untuk kepentingan UMNO tetapi dalam memastikan golongan itu tidak tergelincir dalam arus politik dan pembangunan negara. Namun begitu, pada hari ini wujudnya satu jurang di antara pemimpin atasan dan juga pemimpin bawahan serta akar umbi.Sewajarnya, dalam pengurusan politik kita perlu memastikan pemimpin tidak terlalu jauh ke hadapan dalam melaksanakan misi dan visi.Ini kerana, ia berkemungkinan akan menyebabkan pemimpin bawahan tertinggal jauh dalam memenuhi aspirasi perjuangan.Pemuda UMNO perlu sentiasa bergerak seiring dengan pemimpin atasan.Namun, dalam konteks ini, mereka perlu berpijak pada realiti politik tempatan dan menyelami masalah-masalah pokok yang dihadapi oleh kelompok bawahan seperti taraf hidup yang tidak seimbang , ekonomi , sosial dan pendidikan agar selari dengan tuntutan golongan pemuda itu sendiri.Pemuda perlu merakyatkan pergerakan sayap UMNO ini dengan melihat kehendak sebenar golongan muda.



Pemuda UMNO perlu memberikan kefahaman tentang kepentingan penyertaan golongan muda dalam politik dan juga pemahaman terhadap konsep kenegaraan Malaysia pada hari ini. Ia meliputi kedudukan agama Islam, orang Melayu dan bumiputera serta hak dan tanggungjawab yang digariskan dalam perlembagaan.Kita tidak mahu menyaksikan golongan muda yang menjadi wira dalam isu-isu tertentu tetapi pada masa yang sama tidak mampu memenuhi aspirasi perjuangan.Dalam hal ini, perlu ada keseimbangan antara jati diri Melayu dan kepekaan terhadap tuntutan politik semasa. Pemuda UMNO mesti menjadi orang yang jelas dengan semangat membela bangsanya. Semangat itu tidak boleh dikompromi.



Pemuda UMNO juga seharusnya berani menongkah arus dalam memberikan maklum balas terhadap isu semasa yang tidak memerlukan mereka terikat dengan faktor menjaga diri sendiri semata-mata.Mereka perlu berani bersuara , jika betul dikatakan betul dan jika salah dikatakan salah.Seperkara yang perlu jelas dalam Pemuda UMNO juga ialah garis pemisah antara perjuangan berbentuk peribadi dan perjuangan demi parti. Ada persepsi yang melihat mereka yang menawarkan diri menjadi pemimpin Pemuda UMNO hanyalah sebagai platform kepada individu yang bercita-cita besar untuk mengejar keuntungan dan kepentingan peribadi.




Oleh itu Pemuda UMNO tidak mempunyai pilihan melainkan memastikan pemimpin pelapis yang ada benar-benar merupakan individu yang diketengahkan sebagai wajah Pemuda UMNO perlulah merupakan tokoh yang tidak mempunyai pertindihan antara kepentingan peribadi dengan perjuangan parti. Soal integriti Pemuda UMNO ini amat penting kerana sebagai pewaris kepimpinan parti, merekalah nanti yang bakal menentukan sama ada usaha menghapuskan budaya kronisme dan rasuah dalam parti menjadi kenyataan.Walaupun terdapat isu-isu yang mungkin tidak disenangi oleh pemimpin atasan, namun atas kepercayaan bahawa penilaian rakyat lebih penting, maka Pemuda perlu lebih BERANI.
|
This entry was posted on 08:51 and is filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 feed. You can leave a response, or trackback from your own site.

0 comments: